Kesejahteraan mental merupakan hak asasi, bukannya satu keistimewaan




Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 28 April. - Persekitaran kerja yang selamat dan sihat bukan sahaja melindungi kesejahteraan tenaga kerja kita, malah ia merupakan tonggak asas kepada kemajuan negara, kemakmuran ekonomi dan kestabilan sosial.


Dengan memupuk budaya keselamatan yang kukuh dan berterusan, kita memperkukuh asas bagi melahirkan tenaga kerja yang berproduktiviti tinggi dan membina masyarakat yang lebih sihat serta berdaya tahan pada generasi akan datang.


Justeru itu, amatlah penting untuk kita memperakui bahawa sesebuah negara yang melindungi pekerjanya sedang memelihara masa depannya.


Demikian yang dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Menteri Yang Bertanggungjawab bagi Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dalam perutusan sempena Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2026.


Jelas Yang Berhormat lagi, sempena memperingati Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2026, dengan tema 'Persekitaran Kerja Psikososial yang Baik : Landasan Ke Arah Pekerja yang Berkembang Maju dan Organisasi yang Teguh', kita diperingatkan bahawa kesejahteraan mental merupakan hak asasi, dan bukannya satu keistimewaan.


Kita semua tambah Yang Berhormat, bertanggungjawab untuk bertindak secara tegas dengan mengenal pasti, menilai dan mengurangkan risiko psikososial di setiap tempat kerja, supaya setiap pekerja dapat berkembang maju dan setiap organisasi dapat menanganinya dengan segera, penuh komitmen dan keazaman.


"Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organisation- ILO), risiko psikososial ditakrifkan sebagai interaksi dinamik di antara persekitaran kerja, tugas dan tanggungjawab, keadaan sesebuah organisasi, serta keadaan peribadi dan keperluan pekerja.


"Kesemua faktor yang berkait dan bagaimana pekerja-pekerja boleh terkesan oleh akibatnya, akan memberi pengaruh yang mendalam terhadap tahap kesihatan, prestasi di tempat kerja, produktiviti dan tahap kepuasan kerja secara keseluruhan.


"Bahaya psikososial merupakan isu yang bersifat pelbagai dimensi dan boleh berpunca daripada beban kerja berlebihan, suasana kerja yang kurang memuaskan, peranan dan jangkaan tugas yang tidak jelas, kebimbangan terhadap perkembangan kerjaya, jaminan pekerjaan, konflik atau gangguan di tempat kerja, dan cabaran berterusan untuk mengimbangi tanggungjawab profesional dan keluarga," kata Yang Berhormat.


Yang Berhormat selanjutnya menjelaskan jika sekiranya tidak ditangani dengan sewajarnya, kesannya bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan individu, malah organisasi turut berdepan dengan kemerosotan produktiviti serta peningkatan risiko yang boleh menyebabkan kemalangan atau insiden di tempat kerja.


Untuk menangani atau mendepani cabaran berkenaan secara berkesan tekan Yang Berhormat lagi, para majikan, pekerja, pegawai sumber manusia dan pegawai Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (Health, Safety and Environment-HSE) perlu beralih daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan proaktif pencegahan yang sistematik. Ini termasuklah mewujudkan persekitaran kerja yang bukan sahaja melindungi pekerja daripada bahaya, tetapi turut memperkasa mereka untuk berkembang maju.


Menurut anggaran tahun 2022 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation-WHO) dan ILO ujar Yang Berhormat lagi, kemurungan dan keresahan telah menyumbang kepada kira-kira 12 bilion kehilangan hari bekerja setiap tahun di seluruh dunia. Kerugian ini diterjemahkan hampir mencecah USD1 trilion setahun kepada ekonomi global.


Anggaran kerugian berkenaan tegas Yang Berhormat, menggambarkan dengan jelas kesan besar pengabaian kesihatan mental dan impaknya secara langsung serta boleh diukur terhadap produktiviti sesebuah negara, termasuk di Negara Brunei Darussalam (NBD).


"ILO turut menekankan kaitan rapat di antara tekanan psikososial dengan keselamatan fizikal di tempat kerja. Tekanan yang tinggi boleh menjejaskan fokus dan keupayaan membuat keputusan, menyebabkan kelambatan tindak balas (reaction) dan meningkatkan risiko berlakunya kemalangan atau insiden.


"Oleh itu, kesejahteraan yang terjejas wajar dianggap sebagai satu bentuk bahaya kepada keselamatan yang tersendiri.


"Tambahan pula, Tinjauan Global ILO pada 2022 melaporkan hampir 23 peratus pekerja di seluruh dunia pernah mengalami keganasan atau gangguan di tempat kerja, sama ada secara fizikal, psikologi atau seksual.


"Kelakuan sedemikian sama sekali jelas bertentangan dengan nilai maruah dan rasa hormat yang mesti diterapkan dalam persekitaran kerja moden. Hakikat ini juga menunjukkan bahawa kesihatan mental, keselamatan di tempat kerja dan produktiviti adalah saling berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan," kata Yang Berhormat lagi.


Dalam perutusan berkenaan, Yang Berhormat juga menjelaskan organisasi yang mengabaikan bahaya psikososial akan menghadapi risiko tinggi berkaitan dengan kadar ketidakhadiran, peningkatan kadar pertukaran kakitangan dan penurunan produktiviti, yang membawa kepada kerugian kewangan dan gangguan operasi.


Sebaliknya kata Yang Berhormat, pekerja yang mempunyai semangat positif dan kesejahteraan kukuh akan sentiasa menunjukkan prestasi keselamatan yang lebih baik. Oleh itu, mengutamakan kesejahteraan psikososial merupakan pelaburan strategik yang meningkatkan keselamatan dalam operasi, ketahanan organisasi serta inovasi yang lebih mantap.


Untuk mencapai pendekatan perlindungan pekerja holistik yang sebenar kata Yang Berhormat, dalam persekitaran kerja yang semakin kompleks dan dinamik, usaha keselamatan dan kesihatan mestilah merangkumi kedua-dua aspek fizikal dan psikologi secara seimbang.


SHENA tambah Yang Berhormat lagi, secara berterusan, berusaha menangani risiko psikososial seiring dengan bahaya fizikal, dan selaras dengan perubahan sifat pekerjaan. SHENA juga akan terus mempergiatkan usaha bagi menangani cabaran daripada bahaya kontemporari yang kurang ketara terhadap kesejahteraan pekerja.


Yang Berhormat seterusnya menjelaskan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut memberikan keutamaan dalam usaha menangani risiko sedemikian melalui pelbagai inisiatif berterusan. Antaranya ialah pelancaran Buku Garis Panduan Menangani Gangguan dalam Perkhidmatan Awam NBD pada November 2025, yang menyediakan piawaian jelas untuk memupuk rasa hormat dan akauntabiliti di tempat kerja.


Berpandukan asas berkenaan kata Yang Berhormat, pada Januari 2026, kerjasama antara SHENA, Pusat Promosi Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Buruh telah merintis dasar-dasar bagi memupuk tempat kerja yang lebih selamat dan inklusif, di mana risiko psikososial dikurangkan dan penjagaan kesihatan mental dapat diakses tanpa stigma.


Inisiatif berkenaan jelas Yang Berhormat menyokong aspirasi Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memperkukuh tadbir urus yang baik serta memajukan pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi, berintegriti dan berdaya tahan.


"Usaha-usaha ini selaras dengan objektif Wawasan Brunei 2035 dan menegaskan komitmen kerajaan yang teguh terhadap kesejahteraan semua lapisan rakyat melalui penambahbaikan dan pembaharuan dasar negara secara berterusan.


"Ia menjadi keperluan bagi majikan untuk memastikan amalan pengurusan yang berkesan dan berintegriti dalam menangani risiko psikososial, manakala pekerja pula memainkan peranan aktif dalam memupuk budaya saling menghormati dan tanggungjawab bersama. Melalui usaha kolektif ini, semua pihak dapat memastikan matlamat organisasi tercapai dengan menjadikan keselamatan, kesejahteraan dan daya tahan sebagai teras kepada setiap operasi.


"Tiada kesihatan tanpa kesihatan mental. Sempena Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2026, marilah kita memperteguh iltizam bersama untuk membina tempat kerja di mana setiap individu merasa dihargai, dihormati dan diberikan sokongan menyeluruh baik dari segi fizikal mahupun psikologi.


"Bersama-sama, kita memastikan NBD terus kekal menjadi sebuah negara yang memelihara kesejahteraan tenaga kerjanya, memperkukuh organisasinya serta menjamin masa depannya," ujar Yang Berhormat mengakhiri perutusannya.

Close